Khamis, 22 Disember 2011

NIK AZIZ BIDAS HASAN ALI DAN PERTAHANKAN PIMPINAN PAS PUSAT

KOTA BHARU – Biar pun baru keluar daripada hospital, Murysidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menunggu lama untuk mempertahankan kepimpinan Pas Pusat selepas ‘dibelasah’ teruk oleh dua bekas hulubalang parti itu, Datuk Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa.

Dalam kenyataannya kepada media di sini hari ini, Nik Aziz menegaskan dakwaan Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor  berhubung negara berkebajikan yang diilhamkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah tersasar dari perjuangan asal Pas adalah tidak berasas.

Beliau berkata, sekiranya dakwaan itu benar sudah pasti Majlis Syura Ulama selaku badan pemantau kepada parti sama sekali tidak akan berpeluk tubuh jika dasar parti dilanggar atau dirombak.

“Justeru, dakwaan yang menyatakan bahawa Negara Berkebajikan yang disebut oleh Datuk Sri Presiden di dalam ucapan dasarnya di dalam Muktamar Tahunan PAS baru-baru ini sudah tersasar dari perjuangan asal Pas adalah merupakan dakwaan yang tidak berasas.

“Di pihak Majlis Syura, kita menganggap idea Negara Berkebajikan yang disebut oleh Dato Seri Presiden bukannya menggelincirkan Pas dari landasannya bahkan lebih mendekatkan masyarakat Malaysia kepada perjuangan Pas yang bercita-cita mendaulatkan Islam di dalam sistem pemerintahan.

“Dalam hal ini, negeri Kelantan yang telah 21 tahun ditadbir oleh Pas menjadi rekod dan testimoni yang nyata terhadap cita-cita murni Pas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendirian Hasan yang menolak konsep negara berkebajikan dan meminta sebaliknya mahu parti itu kembali kepada perjuangan asal Pas untuk menubuhkan negara Islam.

Kemelut yang kemudiannya menjadi lebih serius apabila Hasan dan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, tidak disenaraikan sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang.

Sehubungan itu beliau berkata, hasil mesyuarat Lajnah Politik Pas semalam telah membuat keputusan akan memanggil kedua-dua pemimpin terbabit termasuk Ketua Penerangan Pas Selangor Saari Sungip bagi mendapatkan penjelasan mengenai kemelut yang berlaku itu.

Katanya, langkah itu adalah satu usaha terbaik bagi menjernihkan kekusutan yang berlaku kebelakangan ini.

“Saya juga menyeru kepada semua pihak di dalam parti tidak lagi menggunakan media massa milik musuh politik Pas untuk memperkatakan tentang masalah dalaman parti.

“Selesaikan perselisihan pandangan melalui mekanisme dalaman parti dan tidak memberikan peluru kepada musuh. Saya yakin, apa yang berlaku kebelakangan ini hanyalah merupakan ribut kecil yang sengaja diperlihatkan kencang di dalam media massa.

“Apa yang pasti selepas ribut kecil ini, turunlah hujan yang menyejukkan, insya-Allah,” katanya.
Sementara itu, ketika ditemui media di rumahnya tengah hari ini, Nik Aziz berkata, beliau hanya menjalani pemeriksaan rutin tiga bulan sekali di Hospital Universiti Sains Malaysia.

“Saya biasa pergi hospital, tiga bulan sekali periksa di  hospital, Utusan Malaysia biasa sebar benda tu , saya tiada ada apa-apa,” katanya.

- Sumber : Detik Perubahan.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan