Isnin, 12 Disember 2011

Skim Rondaan Sukarela Kukuhkan Perpaduan

KOTA BHARU 11 Dis. - Langkah kerajaan mewujudkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) antara lain bertujuan menjadikan penduduk setempat sebagai 'mata dan telinga' pihak berkuasa dalam usaha mengurangkan kadar jenayah.
Lantaran itu, SRS-KRT Telipot maju setapak apabila turut memanfaatkan penubuhan SRS sebagai medium untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan penduduk setempat.

Langkah itu dilakukan melalui penganjuran majlis gotong-royong memasak bubur asyura yang berlangsung hampir lapan jam bermula pukul 1.30 petang hingga kira-kira pukul 9 malam tadi.
Majlis tersebut menarik penglibatan lebih 20 penduduk yang menjadi anggota SRS-KRT Telipot dan berlangsung di Surau Insaniah, bersebelahan Sekolah Kebangsaan Zainab (1) dekat sini.

Menurut Pengerusi SRS-KRT Telipot, Tengku Mat Tengku Chik , sejak ditubuhkan kira-kira empat bulan lalu, kadar jenayah di penempatan itu berjaya dikurangkan hasil komitmen penduduk yang mengadakan kawalan dan rondaan keselamatan.

Beliau berkata, lantaran komitmen penduduk itu, maka jawatankuasa SRS-KRT Telipot terpanggil menganjurkan majlis memasak bubur asyura bersempena bulan Muharam sebagai medium mengukuhkan ikatan perpaduan dalam kalangan mereka.

"Ia juga sebagai tanda penghargaan ahli jawatankuasa kepada penduduk yang sanggup berjaga malam untuk menjayakan penubuhan SRS-KRT Telipot kerana kita mahu mengembangkan peranan penubuhannya," katanya ketika ditemui di sini, semalam. Turut hadir Ketua SRS-KRT Telipot, Awang Bidin.
Menurut Tengku Mat, SRS-KRT Telipot dianggotai oleh kira-kira 60 penduduk yang dipecahkan kepada enam kumpulan dan bergilir-gilir mengadakan kawalan serta rondaan pada masa-masa ditentukan setiap bulan.

"Setakat ini tidak ada sebarang masalah besar berlaku, justeru kita berharap komitmen penduduk untuk turut serta dalam SRS kerana ia terbukti membawa kebaikan kepada masyarakat dalam membanteras jenayah setempat," katanya.

Sementara itu, Awang berkata, usaha mengadakan majlis gotong-royong memasak bubur berkenaan terbukti mengukuhkan lagi ikatan perpaduan kalangan anggota SRS dan penduduk setempat.
Mengenai belanja membuat bubur itu, beliau berkata, kira-kira RM500 daripada wang tabung SRS dibelanjakan untuk tujuan tersebut dengan kerja memasak dilakukan secara bergotong-royong sejak petang hingga ke malam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan