Khamis, 22 Disember 2011

KEDAI RAKYAT 1M KELANTAN BANTU RAKYAT


KOTA BHARU - Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) pertama di negeri ini yang dibuka pada 24 November lalu, semakin mendapat sambutan menggalakkan dan diterima baik oleh orang ramai.

Kedai berkonsepkan pasar mini itu terletak di Jalan Tengku Petra Semerak dekat sini, diuruskan oleh Pasaraya Mydin dan dipantau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Kewujudan KR1M itu ternyata membantu rakyat berpendapatan rendah untuk mendapatkan barangan keperluan mereka pada harga berpatutan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pengunjung dari kawasan bandar dan daerah-daerah lain turut tidak melepaskan peluang mengunjungi KR1M untuk membeli barangan asas menggunakan logo 1Malaysia seperti minyak masak, telur, tepung dan beras.

Beras seberat lima kilogram misalnya dijual pada harga RM11.50 berbanding harga runcit biasa RM13, manakala 10 kilogram dijual RM21.99 berbanding RM26, bihun pula RM1.39 sebungkus, telur 30 biji (RM9.29) dan sardin 425 gram (RM2.99).

Seorang pengunjung dari Tumpat, Norhafizah Razali, 23, berkata, dia seronok berbelanja di kedai itu kerana harga barangan amat berpatutan berbanding di pasar raya.

"Saya sudah tiga kali datang ke KR1M untuk membeli barangan dan saya lihat pihak kerajaan mementingkan kebajikan rakyat berpendapatan rendah dengan menawarkan belian barangan keperluan yang murah," katanya.

Seorang lagi pengunjung yang juga berasal dari Tumpat, Kamariah Yusof, 45, bagaimanapun memberitahu, tidak semua barangan keperluan yang ditawarkan di KR1M pada harga rendah, sebaliknya lebih berpatutan berbanding di tempat lain seperti minyak dan beras.

"Saya mencadangkan Mydin membuka cawangan KR1M di kawasan Tumpat kerana saya yakin penduduk di kawasan berkenaan memerlukan barangan di kedai tersebut," katanya yang pertama kali berkunjung ke kedai tersebut.

Sementara itu, Pengurus KR1M cawangan Kelantan, Nik Nurul Ain Nik Osman berkata, sambutan orang ramai ke kedai tersebut amat menggalakkan semenjak dibuka pada November lalu.

Katanya, KR1M diwujudkan atas keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meringankan beban rakyat berpendapatan rendah.

"Keutamaan produk di bawah jenama KR1M diberikan kepada barangan keluaran Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kerana secara tidak langsung, dapat membantu mereka memajukan serta meningkatkan hasil jualan dan bersaing di pasaran," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan