Isnin, 12 Disember 2011

Peruntukan Khas Naik Taraf Tanah Perkuburan Islam

KOTA BHARU - Tanah perkuburan Islam di negeri ini perlu diberi perhatian dengan cara mengindahkan kawasan itu agar ia lebih terpelihara dan tidak terbiar dengan semak-samun, malahan turut dicerobohi haiwan.

Penyelia Pembangunan Desa Dewan Undangan Negeri (Dun) Melor, Nor Azme Mohamad berkata, kerajaan perlu memberi peruntukan khas bagi tujuan mengindahkan kawasan tanah perkuburan Islam di Kelantan.

“Berbanding tanah perkuburan orang bukan Islam, kubur Islam didapati terbiar kerana tiada peruntukan khas seperti membina pagar dan kebersihannya tidak dijaga menyebabkan ada di sesetengahnya, haiwan ternakan seperti lembu, kambing, malahan babi hutan turut memasuki kawasan kubur.

“Isu ini sensitif bagi orang Islam, namun masih tidak dihiraukan kerana masih banyak kubur Islam yang menggunakan pagar dawai sedangkan ia tidak selamat kerana boleh dicerobohi,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata, tanah perkuburan Islam perlu dijaga kerana ia masih menghubungkan ikatan kasih sayang mereka yang meninggal dunia dan sanak-saudara yang masih hidup, di mana yang ada di dunia sentiasa menziarahi kubur sebagai tanda ingatan kepada si mati.

“Bayangkan apa perasaan kita sebaik sahaja sampai di tanah perkuburan, dengan keadaannya yang semak-samun, terdapat pula ternakan seperti lembu, kambing dan biri-biri di dalam kawasan kubur, sudah pasti ia mengganggu perasaan dan ketenteraman pengunjungnya,” katanya.

Sementara itu, wakil penduduk, Yusoff Ibrahim, 61 berkata, tanah perkuburan adalah satu tanah yang amat dihargai kalangan orang beragama Islam dan ia menimbulkan rasa terkilan apabila ada di antara tanah perkuburan berkenaan dimasuki babi hutan.

Beliau mengakui, Tanah Perkuburan Islam Wak Sir Melor, di sini banyak kali dimasuki babi hutan yang datang secara berkelompok sejak tiga tahun lalu kerana masih menggunakan pagar dawai sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan