Selasa, 20 Disember 2011

PADAH CURI KABEL TELEKOM

KOTA BHARU – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana menghadapi tuduhan mencuri wayar besi milik sebuah syarikat telekomunikasi di Paloh Rambai di sini, 15 Disember lalu.
 
Tuduhan terhadap Mohd Hairi Azrul Yusof, 25, dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama di bawah Seksyen 34 akta sama dan memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.
 
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa bersama-sama yang masih bebas mencuri segulung wayar besi milik Telekom Malaysia di Kampung Batu 11, Paloh Rambai di sini pada jam 9.30 pagi, 15 Disember lalu.
 
Pada prosiding semalam, tertuduh turut ditawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan iaitu bersama-sama yang masih bebas menyimpan harta curi tersebut di alamat Kampung Chengal, Ketereh di sini, pada jam 1.30 pagi, 16 Disember lalu.
 
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.
 
Bagaimanapun, Mohd Hairi Azrul tidak mengaku pada kedua-dua tuduhan itu. Berikutan itu, Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly menetapkan 30 Januari depan sebagai tarikh serahan dokumen untuk perbicaraan kes berkenaan.
 
Sementara itu, tertuduh dibenarkan diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan