Sabtu, 24 Disember 2011

HRPZII SANGKAL DAKWAAN TIDAK MENYELAMATKAN PESAKIT

KOTA BHARU - Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) menyangkal dakwa tidak mengambil tindakan sewajarnya terhadap pesakit yang mendapat rawatan di hospital berkenaan, baru-baru ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan ketika diminta mengulas dakwaan itu berkata, ia tidak benar kerana pihak hospital sudah melakukan tindakan sewajarnya bagi menyelamatkan pesakit.

“Pesakit ketika dibawa ke Unit Kecemasan mengalami pendarahan serius otak kerana masalah darah tinggi yang tidak terkawal dan kami mengenal pasti keadaan berkenaan melalui CT xray, sebelum merujuk kes berkenaan kepada pakar bedah di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

“Setelah meneliti CT xray yang dibuat, pakar berkenaan menyatakan rawatan melalui pembedahan sudah tidak sesuai lagi dan rawatan secara konservatif sahaja disarankan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Bagaimanapun, Ghazali berkata, doktor yang merawat sudah memaklumkan perkara itu kepada keluarga pesakit, namun kenyataan tersebut seolah-olah sukar diterima.

Menurutnya, hospital terus memberikan rawatan secara IV line (melalui darah) dan kematian pesakit sudah dijangka dalam masa terdekat.

Mengulas ketidakselesaan keluarga terhadap penjelasan yang dibuat di hadapan pesakit, Ghazali berkata, ada ketikanya perkara itu perlu dinyatakan secara terus kepada pesakit berkenaan.

“Namun dalam kes ini, saya bagi pihak doktor terlibat memohon maaf jika perkara itu menimbulkan rasa kurang selesa di hati keluarga pesakit, dan dalam kes ini pesakit tidak sedarkan diri (koma), tetapi boleh bernafas sendiri,” katanya.

Ghazali berkata, jika masih pihak keluarga belum berpuas hati dengan penjelasan ini, mereka boleh berjumpa doktor berkenaan atau saya sendiri.

Dalam perkembangan lain, Ghazali menasihatkan orang ramai agar mendapatkan rawatan lebih awal bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Penyakit darah tinggi adalah pembunuh dalam diam, ia penyakit yang paling ditakuti kerana boleh menyebabkan strok jika tidak dikawal dengan baik, bila dirujuk ke hospital dalam keadaan sudah kritikal, tiada apa dapat dilakukan,” katanya.

Menurutnya, penyakit darah tinggi salah satu penyakit yang tidak boleh sembuh tetapi boleh dikawal.

Rabu lalu, Sinar Harian menyiarkan kekesalan anak kepada wakil peribadi Menteri Besar, Shafini Hassan, yang mendakwa menerima layanan kurang mesra daripada pegawai perubatan bertugas merawat arwah ibunya, Siti Sapur Mat Rani.

Siti Sapur dimasukkan ke hospital berkenaan Khamis minggu lalu selepas tidak sedarkan diri akibat darah tinggi yang tidak terkawal, sebelum meninggal dunia pagi jam 1.20 pagi Selasa lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan