Isnin, 12 Disember 2011

Jangan Tertipu Dengan Agen Palsu Bantuan Rakyat 1Malaysia

 KOTA BHARU - Dalam kegembiraan mendapatkan borang wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), rakyat di negeri ini dinasihatkan berhati-hati supaya tidak tertipu ejen palsu sehingga menyebabkan nama tercicir mendapat RM500 itu.

Pengerusi Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (Mayang) Pengkalan Chepa, Datuk Dali Husin mengingatkan orang ramai untuk tidak memberikan sebarang bayaran ketika mendapatkan borang kerana kerajaan mengedarnya secara percuma.

Menurutnya, individu juga perlu menghantar borang-borang berkenaan kepada pihak yang ditetapkan seperti Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), sekolah-sekolah terpilih, cawangan Lembaga Hasil Dalam Negara sebelum 31 Disember ini.

“Mungkin ada individu yang akan mengambil kesempatan ketika ini dan saya ingatkan supaya jangan serahkan borang kepada pihak tidak berkenaan termasuk memberikan bayaran kepada sesiapa untuk mendapatkan borang.

“Saya bimbang nanti ada yang merungut tidak mendapat wang berkenaan sedangkan mereka berurusan dengan pihak tidak sepatutnya,” katanya.
Beliau meminta penduduk setempat menghargai pemberian yang disediakan kerajaan bagi meringankan tanggungan ketua isu rumah.

Tinjauan Sinar Harian pada hari pertama pengambilan borang di Sekolah Kebangsaan Dato’ Hashim 1 semalam menunjukkan penduduk mula menyerbu kaunter disediakan seawal jam 8 pagi.
Seorang ibu, Siti Zaiha Awang, 42, berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan wang bantuan tersebut untuk meringankan beban ketua isi rumah yang berpendapatan di bawah RM3,000.

“Pendapatan bulanan saya hanya RM400 dengan mengambil upah mewarnakan batik dan saya berharap akan menerima wang itu untuk menampung perbelanjaan sekeluarga,” katanya.
Bagi ibu tunggal, Zarah Salleh, 59, pula wang tersebut amat diperlukan kerana boleh meringankan beban tanggungannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan