Rabu, 14 Disember 2011

Rumah Miskin Dipecah Masuk Pencuri

KOTA BHARU - Bukan sahaja terpaksa hidup dalam kedaifan sejak lima tahun lalu, malah empat sekeluarga yang tinggal di Pulau Gajah, Sabak di sini, turut ditimpa musibah, apabila rumah mereka dipecahkan masuk, petang kelmarin.

Keluarga ini yang baru sahaja menerima bantuan dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (Maik) sebanyak RM3,000, ekoran pendedahan Sinar Harian, mengenai kemiskinan mereka yang terpaksa berhimpit dalam sebuah rumah yang usang dan hampir roboh, bersama kambing, burung, kucing dan ayam.

Dipercayai ketika kejadian kira-kira jam 5 pagi kelmarin, penghuni rumah itu, Fatma Yahya, 34 serta Sulaiman Yusof, 45, tiada di rumah.

Ibu Fatma, Nik Som Nik Ngah, 57, berkata, dia tahu mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan adiknya, Nik Sum, 54, yang tinggal bersebelahan rumahnya.

“Saya dimaklumkan dia kehilangan dua ayam peliharaan di samping sepasang seluar dan baju suaminya yang digantung dekat pintu dapur belakang rumahnya turut dicuri.

“Mungkin pencuri itu mengetahui Fatma dan suaminya baru menerima sumbangan wang MAIK dan menyangka wang itu ada dalam rumah mereka sehingga sanggup menceroboh masuk, mujurlah suaminya mengambil tindakan awal, menyimpan wang itu dalam bank,” katanya ketika ditemui di rumahnya kira-kira tiga kilometer dari rumah anaknya itu.

“Walaupun kehidupan saya bersama sembilan lagi anak miskin, namun saya sering bantu Fatma yang mempunyai dua anak itu menghantar makanan ala kadar, tetapi kami jarang bertemu kerana Fatma jarang keluar rumah berikutan banyak haiwan peliharaan suaminya disimpan dalam rumah itu akibat bimbang dicuri,” katanya.

Nik Som berharap, Maik yang memberi jaminan bagi membina rumah baru di kawasan terbabit dapat disegerakan bagi mengelakkan masalah terbabit berulang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan